Search This Blog

Sunday 31 July 2011

Sukar Terima Alasan Kekalahan! - Tan Sri Annuar Musa

Artikel ini Penulis ambil dari Utusan Malaysia. Sememangnya kita memerlukan individu seperti Tan Sri Annuar Musa di FAM membawa bolasepak negara ke tahap yang lebih tinggi.


KUALA LUMPUR - Kenyataan bahawa kekalahan Malaysia kepada Singapura pada Kelayakan Piala Dunia Khamis lalu sebagai tidak membimbangkan, sukar untuk diterima oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, alasan bahawa sasaran sebenar Harimau Malaya ialah pada Piala Asia 2015 tidak wajar. Ini kerana kata Annuar, Kelayakan Piala Dunia adalah kejohanan paling penting bagi semua negara yang menganggotai badan bola sepak dunia FIFA, kerana ia menjadi kayu ukur kemampuan sesebuah negara.

 Piala Dunia - Kejohanan bolasepak paling berprestij yang menjadi tumpuan seluruh dunia.

"Saya bukan bercakap untuk kita menang Piala Dunia, tetapi sejauh mana kita mampu mara kerana kita telah mencuba 11 kali untuk melayakkan diri ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia.
 
"Namun sehingga kini kita masih gagal, jadi kita tidak boleh rasa puas hati. Kita kena terima hakikat dan jangan takut untuk menyatakan prestasi skuad kebangsaan belum matang sepenuhnya tambahan kita sukar hendak mencapai kemenangan di tempat lawan. Kelayakan Piala Asia masih jauh dan jangan jadikan Kelayakan Piala Asia 2015 dijadikan keutamaan sebagai alasan kegagalan kita melepasi halangan Singapura tempoh hari," katanya ketika dihubungi semalam.

Tan Sri Annuar Musa - Individu dengan kredibiliti tinggi.

Malaysia tersingkir pada Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia apabila tewas 4-6 secara agregat kepada Singapura, setelah seri 1-1 pada pertembungan kedua Khamis lalu. Mengulas kehampaan tersebut, Annuar berkata, kegagalan tidak seharusnya dipikul oleh jurulatih Datuk K. Rajagobal sahaja, tetapi ia menjadi tanggungjawab FAM juga.

"FAM juga perlu bertanggungjawab kerana mereka yang mengaturkan persediaan pasukan sebelum menghadapi sesuatu kejohanan," katanya.

 Tanggungjawab membentuk pasukan bukan pada jurulatih seorang. FAM perlu lebih berperanan dari segi perancangan perlawanan persahabatan dengan negara-negara luar dan memperkasakan liga domestik.

Dalam perkembangan sama, Annuar bersetuju dengan pandangan seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bahawa pemain skuad kebangsaan ketika ini harus dikekalkan.

"Mereka semua masih muda, itu kelebihan yang saya nampak pada pasukan ini. Saya yakin dengan pendedahan banyak lagi perlawanan, pasukan ini mampu mara jauh, " katanya.

Mengenai Rajagobal, beliau berkata, segala keputusan hanya akan terjawab pada mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan yang akan dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.

 Nasib Rajagobal akan ditentukan pada Mesyuarat Jawatankuasa kelak.

"Saya tidak boleh mengulas mengenai kedudukan Rajagobal kerana ia perlu diperbincangkan oleh semua exco sebelum kita membuat apa-apa keputusan. Tarikh mesyuarat belum diputuskan lagi, jadi saya tidak boleh ulas lanjut perkara ini," katanya.


No comments:

Post a Comment