Search This Blog

Sunday 24 July 2011

Piala Dunia Takraw : Malaysia Kecewa Di Laman Sendiri


Harapan para peminat untuk menyaksikan kebangkitan skuad Sepak Takraw negara tidak kesampaian apabila aksi longlai dipersembahkan di final menentang Thailand sebentar tadi. Skuad Malaysia tewas 3 set (15-4, 15-6 dan 15-11).

Jelas, kegugupan pemain negara yang dibarisi Noorazman Hamid (tekong), Norshahruddin Ghani (pelibas) dan Farhan Adam (feeder) menjadi punca utama kehilangan mata-mata awal permainan dan ia dimanfaatkan sepenuhnya pasukan Thailand untuk menang di set pertama.

Noorazman Hamid gagal membuat servis yang diharapkan oleh peminat.

Di pertengahan set kedua, Noorazman akhirnya ditukarkan dengan Syazwan Husin untuk memperbaiki servis kem Malaysia, namun Thailand terus garang menamatkan set tersebut.

Kebangkitan lewat permainan yang cuba ditunjukkan di set ketiga nampak sedikit kelihatan apabila pada satu ketika pasukan Malaysia berjaya merapatkan kedudukan 8-8, sebelum Thailand menunjukkan betapa masih banyak yang perlu dilakukan oleh pasukan negara untuk menyaingi mereka.

 Norshahruddin Ghani cuba melakukan yang terbaik namun regu Thai ternyata lebih mantap.

Penulis berpendapat punca utama kekalahan pasukan negara adalah mental. Aksi tekong negara Noorazman yang begitu gugup dan tertekan menyebabkan Thailand mengambil kesempatan tersebut.

Selain itu, sememangnya diakui kehebatan Thailand adalah pada servis dari Siriwat Sakha @ Krengkrai Kaomian dan pelibas mereka Ponchai Kaokeaw @ Anuwat Chaichana. Malah, Penulis juga melihat feeder mereka Pattarapong Yuppadee juga mampu untuk membuat libasan.

Siriwat (kiri) dan Ponchai (tengah) tiada masalah membenam cabaran skuad negara.

Pattarapong (tengah) juga selain feeder mampu untuk melibas di saat penting.

Kejohanan ini juga membuktikan bahawa servis secara berterusan dalam format sebelum ini bukanlah kunci utama kejayaan Thailand apabila format 3 servis ditukar juga tidak menampakkan kecacatan ke atas aksi Negara 'Gajah Putih' tersebut.

 Skuad Takraw Thailand yang begitu berbisa.

Harapan pada masa kini tentunya ialah untuk kembali menebus kekalahan tersebut di Sukan Sea akan datang. Kerja keras perlu dilaksanakan oleh PSM kendalian Dato' Ahmad Ismail termasuk mencari bakat-bakat baru yang dapat ditonjolkan suatu hari nanti.

 Young talent?
 

No comments:

Post a Comment