Search This Blog

Wednesday 27 July 2011

Piala Presiden 2011 : Red Warriors Jr. bergelar Johan

 Skuad Piala Presiden (bawah 20 tahun) Kelantan

Kelantan berjaya menepati status pasukan pilihan apabila menjuarai Piala Presiden 2011 setelah menewaskan MP Muar dengan jaringan 2-1 selepas masa tambahan (kedudukan 1-1 pada 90 minit).

Pasukan yang dibimbing oleh jurulatih Zahasmi Ismail yang juga bekas pemain Kelantan mendahului seawal minit ke-9 menerusi Mohd Aris Zaidi selepas bola sepakan sudut Mohd Khairul Izuan (E-One) gagal ditangkap kemas oleh penjaga gol MP Muar (Mohd Khairul Izzuwan) untuk dimanfaatkan sepenuhnya Aris.

 Mohd Aris Zaidi - Penjaring terbanyak kejohanan (19 gol) menjaringkan gol pertama.

Tersentak dengan itu, MP Muar memperkemaskan rentak sehinggalah berjaya memperolehi gol penyamaan di minit ke-23 apabila cubaan Mohd Nor Hakim Hassan tidak dapat ditampan kemas oleh penjaga gol Kelantan.

Penguasaan permainan nyata lebih memihak Red Warriors dengan 56% ball possession berbanding MP Muar yang sekali-sekala membuat serangan balas. Namun, ketangkasan GK MP Muar Mohd Khairul Izzuwan yang juga bekas penjaga gol Harimau Muda musim lalu berjaya menggagalkan cubaan berbahaya Kelantan.

MP Muar yang dibimbing Rosli Omar cuba memberikan saingan sengit kepada Kelantan.

Layangan kad merah dikenakan ke atas pemain Kelantan apabila Zamri Ramli didapati sengaja memijak Kapten MP Muar, Fauzi Abd Kadir. Namun, kehilangan pemain tersebut tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh MP Muar sebaliknya permainan terus dikuasai pasukan Kelantan.

Pada masa tambahan, gol kemenangan pasukan Kelantan terhasil pada minit ke-95 apabila gerakan menarik Mohd Khairul Izuan @ E-One yang memperdayakan 2 pemain pertahanan MP Muar sebelum merembat di penjuru atas sebelah kanan pintu gol.

 Mohd Khairul Izuan - Bakat baru yang dijangka akan menyinar untuk pasukan Kelantan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, MP Muar cuba menyusun kembali serangan dan keghairahan membuat serangan menjadikan pemain pertahanan kanan mereka dibuang padang di penguhung permainan.

Juara menerima Piala berserta wang RM100,000 manakala Naib Juara menerima wang berjumlah RM50,000.

Kejuaraan pasukan The Red Warriors nyata membuktikan bahawa program pembangunan dan kemajuan bolasepak negeri tersebut telah menampakkan hasil yang memberangsangkan. Syabas diucapkan kepada Pengurusan KAFA yang dilihat begitu serius memartabatkan pasukan Kelantan.

No comments:

Post a Comment