Search This Blog

Sunday, 21 October 2012

Kelantan Juara Piala Malaysia 2012!


Kelantan sekali lagi menepati status sebagai pasukan terhebat Malaysia sesudah berjaya menjulang Piala Malaysia 2012 selepas menewaskan ATM sekaligus melengkapkan kejuaraan Treble yang penuh gemilang tahun 2012.

Untuk 10 minit pertama dipenuhi dengan foul.  ATM dilihat lebih menguasai permainan dan memberi tekanan sementara Kelantan menggunakan pendekatan hantaran jauh.

Pemain pinjaman dari KL, Afiq Azmi hampir mencipta nama dalam senarai penjaring pasukan Kelantan apabila cubaannya menanduk gol berjaya ditampan penjaga gol ATM, Farizal Harun.

Kelatan akhirnya berjaya memperoleh gol pertama menerusi Norshahrul Idlan Talaha. Gerakan yang dimulakan Shakir Shaari yang berjaya mengekang asakan pemain lawan, membuat hantaran kepada Kapten Badhri Radzi a.k.a Piya. Kapten Kelantan itu berjaya menguis cantik bola kepada Norshahrul yang berlari dari sebelah kanan ke dalam kawasan gol, kemudian merembat ke penjuru gawang sebelah kiri melepasi kawalan tangan Farizal. Kelantan mendahului 1-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Pada separuh masa kedua, Kelantan terpaksa membuat pertukaran mengeluarkan Subramaniam untuk digantikan Rizal Fahmi setelah pergelutan dengan Hai-O. Keadaan kelihatan kucar kacir di pintu gol ditambah apabila Rezal Zambery berjaya membuat rembatan hasil daripada bola yang cuba dikeluarkan oleh pemain Kelantan.

Kedudukan 1-1 tidak kekal lama apabila Kelantan berjaya mendahului semula pada minit ke 50 apabila hantaran rendah cantik Piya daripada tengah ke penjuru sebelah kiri berjaya menemui Norshahrul. Mat Yo membuktikan malam kelmarin merupakan pentas untuk beliau mempamerkan kepada Malaysia mengapa beliau masih diperlukan dalam skuad Kebangsaan apabila berjaya menggelecek ke dalam kotak penalti memperdayakan K.Reuben sebelum membuat rembatan di penjuru kiri menewaskan Farizal. Kelantan 2 ATM 1.

Tersentak dengan itu, Sathianathan bingkas membuat 2 pertukaran mengeluarkan Azmi Muslim dan Christie Jayaselan yang tidak efektif di sebelah kiri dengan memasukkan Fitri Omar dan Venice Elphi. Pertahanan Kelantan Shahrul Azim pada mulanya bergelut dengan kepantasan Venice sehinggakan Shakir terpaksa membantu dan menerima kad kuning akibat kekasaran. Ternyata sepakan percuma yang diambil berjaya disambar Marlon Alex menerusi tandukan yang gagal dihalang oleh Khairul Fahmi.

Kedua-dua pasukan sering memperkemaskan permainan dengan Kelantan dilihat mula tertekan, Bojan kemudian membuat pertukaran dengan menggantikan Afiq dengan Mafry Balang untuk memperkemaskan bahagian tengah Kelantan. 

Pada masa tambahan, tatkala ATM mengasak kubu Kelantan, Shakir berjaya merampas bola dan berjaya mengawal di kawasan tengah sebelum membuat hantaran kepada Piya yang secara tiba-tiba membuat hantaran ke sebelah kanan kepada Indra Putra yang berlari. Indra membuktikan betapa pengalamannya di pentas tertinggi Liga Malaysia apabila tenang menyudahkan hantaran Piya dengan rembatan cantik di sudut kiri pintu gol melepasi jangkauan Farizal. Kelantan 3-2 ATM. ATM kemudian menyusun semula gerakan dan kontroversi berlaku semasa pemain Kelantan mengalami kecederaan, pemain ATM meneruskan permainan dengan Rezal Zambery membuat percubaan yang terkena tiang.
ATM memperoleh peluang keemasan pada minit-minit terakhir masa tambahan, apabila Bruno Martelotto yang mendapat bola hasil dari pergelutan dari sepakan percuma, namun meremat tinggi dari pintu gol. Bruno turut pada minit akhir mendapat satu lagi peluang menerusi tandukan namun tersasar dari pintu gol.

Pada pendapat Penulis, pasukan Kelantan ternyata pasukan yang lebih konsisten apabila rata-rata berjaya mengawal permainan. Sepanjang satu musim, Kelantan sentiasa menguasai perlawanan. Tonggak pertahanan yang mantap diterajui Subra & Obinna dibantu Apek yang cemerlang di gawang, barisan tengah dikepalai oleh Shakir Shaari dan Piya yang kreatif, Sambil teraju serangan di antara Nurul-Farhan-Indra-MatYo-Ghaddar.

Piya - 3 assist yang cukup cantik
Mat Yo - 2 gol dari rembatan kiri dan kanan
Indra - 1 gol yang cukup penting membawa kejuaraan
Fahmi - Save yang bertubi-tubi 

Wednesday, 8 August 2012

Olimpik 2012 : Impian Emas Chong Wei terkubur. Apa pula selepas ini, BAM?


Kesedihan Chong Wei dikongsi rakyat Malaysia

Menyaksikan perlawanan final antara Chong Wei dan Lin Dan pastinya menjadi kemestian pada rakyat Malaysia tempoh hari. Apapun, sekali lagi tatkala kemenangan semakin hampir kepada Chong Wei ke atas Lin Dan, di penghujungnya sesuatu berlaku. Lin Dan nampak sedikit baik daripada Chong Wei hanyalah dari aspek kekuatan mental untuk tidak melakukan kesilapan di saat akhir. Chong Wei tewas setelah gagal untuk mengagak shuttle dihantar Lin Dan ke belakang yang disangkanya keluar tetapi sebenarnya masuk, disusuli pula pukulannya ke belakang gelanggang yang berjaya diagak Lin Dan yang mana shuttle dihantar Chong Wei itu keluar.

Jadi, apa pula selepas ini BAM? Adakah masih nak keluarkan statement untuk mengajak Chong Wei bermain hingga Olimpik 2016 di Brazil? “Oleh kerana Chong Wei saja yang terbaik sekarang, justeru beliau terus akan bermain”. Takkan ini saja yang mampu diperkatakan oleh Dato’ Nazmi Salleh (Presiden BAM). Sementara Kenny Goh (Pengurus Besar) dan Ng Chin Chai (S/U) pula akan keluarkan statement rata-ratanya berpuas hati dengan Chong Wei yang dah all-out dan hampir-hampir menang walaupun baru baik injured, Koo-Tan juga yang hampir-hampir dapat gangsa dan Peng Soon-Liu Ying yang pertama kali beraksi (pendedahan la katanya). Kalau begini saja skripnya, berkuburlah masa depan badminton negara dalam masa 2 tahun akan datang.

Chin Chai, Dato’ Nazmi, Kenny

Kita bercakap soal perkembangan badminton negara. Sedar atau tidak sejak 5-6 tahun lepas kita telah dilanda kemarau pemain pelapis untuk diketengahkan. Tiada pemain yang boleh dianggap world beaters selain Lee Chong Wei. Mengapa ini terjadi? Sebabnya, Pengurusan BAM yang amat lemah serta gagal sepenuhnya untuk menaikkan badminton negara.

Dan lihat apa yang terjadi selepas itu, bermula dengan krisis perletakan jawatan Misbun Sidek. Selepas itu, Rexy Mainaky pula telah meninggalkan Malaysia untuk berkhidmat di Filipina. Namun, Rexy tetap menyatakan beliau masih sayangkan badminton Malaysia. Sesuatu yang tidak kena, bukan? Perlantikan Yoo Yong Sung sebagai jurulatih hanyalah cara BAM untuk menutup mulut pengkritik yang menyelar keras pemergian Rexy. Akhirnya, Yong Sung juga meninggalkan BAM kononnya dikatakan mereka isu gaji (hakikatnya Yong Sung tidak diberi peluang melatih Koo-Tan dan hanya diberi 10-20 minit melatih 10 pemain).

Adakah BAM di bawah Dato Nazmi tidak dapat memikirkan cara yang terbaik untuk menaikkan badminton Malaysia? Adakah cukup pemain-pemain sedia ada diletakkan di bawah jurulatih yang biasa-biasa sahaja pencapaian di era mereka (bukan mahu merendahkan mereka) seperti Jeremy Gan dan Pang Cheh Chang. Tapi, kita perlu mendapatkan jurulatih yang proven track record barulah boleh berjaya. Ibarat memilih Pengurus Bolasepak, semua Pemilik kelab mahukan Jose Mourinho, Josep Guardiola dan Guus Hiddink.

Oleh itu saya di sini dengan rasa rendah diri ingin memohon agar Dato’ Nazmi, Kenny Goh dan Ng Chin Chai segera meletakkan jawatan. Rasanya cukuplah sudah jasa dan penglibatan kalian dalam menaikkan sukan terbaik negara kita. Biarlah orang lain pula yang membawa teraju dan pengurusan BAM.

Tan Sri Elyas Omar

Aku selalu membaca mengenai resipi kejayaan Piala Thomas 1992 yang bermula dari Program TUO tahun 1988 yang diasaskan oleh Tan Sri Elyas Omar pada masa itu. Dikendalikan oleh Dato’ Punch Gunalan, pada masa itu Malaysia mengambil jurulatih daripada China seperti Fang Kai Xiang, Han Jian, Yang Yang dan lain-lain untuk melatih pemain Malaysia. Dan lihatlah hasilnya, kita berjaya mendapatkan Piala Thomas. Formulanya ialah ; 
  1. Pengurusan yang professional dan mempunyai misi dan visi yang jelas.
  2. Ketua Jurulatih selaku individu yang memantau perkembangan jurulatih serta pemain.
  3. Barisan kejurulatihan yang hebat, menjalankan latihan keras kepada pemain. 
  4. Sekumpulan pemain-pemain muda yang komited, hebat, berbakat & bermotivasi tinggi.

Sehubungan itu, aku harap sekali agar Malaysia (melalui penglibatan orang politik seperti Menteri Belia & Sukan serta Ketua Pengarah MSN) dapat melihat kembali struktur Pengurusan BAM ini dan ubahlah segera. Janganlah hanya berani mengeluarkan statement sekadar bermotifkan penyedap rasa seperti seperti teguran membina, berbincang dan bincang, hantar kertas kerja baru kerana ianya tidak ‘bergigi’ serta telah terbukti tidak mampu mengubah apa-apa (lihat semenjak tahun 2000).

Untuk barisan kejurulatihan, aku ingin mencadangkan nama berikut :


 Ketua Jurulatih – Misbun Sidek
 Misbun ketika membimbing Chong Wei

Komen : Kemampuannya tidak dapat kita pertikaikan. Lihat sahaja bagaimana beliau membentuk LCW sehingga ke hari ini. Kepakaran beliau adalah mampu untuk merangka pelan untuk melahirkan seseorang pemain single yang hebat. Ditambah pula beliau seorang tokoh bekas pemain yang hebat semasa di zamannya. Mempunyai aura karekter tersendiri sebagai seorang yang berani dan tidak takut pada kritikan.

PERSEORANGAN
Jurulatih – Tang Xianhu
Jurulatih berpengalaman ini ternyata mempunyai midas touch. Jika Malaysia bersungguh mahu mencari pengganti Chong Wei, aku rasa tak salah kita lantik beliau selaku jurulatih.

Komen : Kenalkah anda Tang Xianhu? Aku hampir pasti rata-rata tidak mengenalinya langsung. Tetapi tahukah anda beliau adalah individu terpenting di dalam kejayaan Lin Dan menjadi pemain yang sangat disegani dan jaguh dunia. Tang merupakan kelahiran Indonesia dan pernah menjadi jurulatih Indonesia. Pada masa itu Indonesia banyak melahirkan jaguh-jaguh seperti Ardy Wiranata, Alan Budikusuma, Heryanto Arbi termasuk Susi Susanti. Jaguh terakhir yang dilahirkannya adalah Hendrawan sebelum beliau kembali ke China ekoran permohonannya untuk menjadi warganegara Indonesia telah ditolak. Taufik Hidayat pernah berkata bahawa salah satu kekecewaannya adalah tidak pernah mendapat bimbingan dan Tong Sinfu (nama kenalannya di Indonesia).

Di China, beliau telah melahirkan ramai jagoan dunia seperti Ji Xinpeng, Xia Xuanze, Bao Chunlai, Chen Jin, Lin Dan serta terbaru tentunya Chen Long. Satu fakta yang lebih menarik ialah jaguh beregu China sekarang iaitu Cai Yun-Fu Haifeng dipilih sendiri oleh Tang di dalam suatu program khas melatih pasangan beregu kerana pada masa itu satu-satunya masalah China ialah tidak mempunyai gandingan beregu yang mantap. Kebiasaannya di Piala Thomas, negara lain mendapat 2 mata dari acara beregu sambil berharap mampu mencuri satu mata dari acara perseorangan apabila berdepan China. Namun, kini sukar sama sekali untuk mencuri satu mata dari perseorangan termasuk juga masih perlu berhadapan beregu ini yang amat handal.

Jurulatih – Tay Seu Bock, Rashid Sidek dan Hendrawan
Hendrawan masih diperlukan untuk membimbing pemain pelapis.

Komen : Tiada masalah. Ketiga-tiganya masih diperlukan di dalam setup untuk melahirkan jaguh perseorangan negara baik seawal peringkat remaja.


 BEREGU
Jurulatih – Park Joo Bong

Komen : Beliau digelar pakar beregu kerana kehandalannya dalam acara beregu sama ada lelaki mahupun campuran. Tidak kiralah dengan sesiapa pun pasangan regunya, beliau dapat mengawal gelanggang dengan baik di samping membantu pasangannya beraksi dengan cemerlang. Sesuatu yang menakjubkan jika kita lihat Jepun yang pada masa dahulu hanyalah lawan biasa sahaja tetapi kini mempunyai sekurang-kurangnya 3 beregu yang sedang meningkat naik dengan pantas.

Karier kejurulatihan Joo Bong bermula dengan melatih England dan melahirkan pemain bergu seperti Nathan Robertson, Anthony Clark dan Gail Emms. Beliau juga pernah menjadi jurulatih Malaysia pada suatu masa dahulu dan menaikkan 2 gandingan bergu iaitu Tan Fook-Wan Wah dan Chong Ming-Chun Eng. Namun apakan daya, perbalahan timbul antara beliau dan BAM dipercayai tentang tuntutan elaun dan teknik latihannya memaksa beliau meletak jawatan. Aku tidak pasti sama ada Joo Bong masih berdendam dengan BAM atau tidak. Mungkin selepas Dato Nazmi pergi, kepimpinan baru dapat memujuknya kembali.


Jurulatih – Rexy Mainaky
Komen : Nama yang tidak asing lagi dalam dunia badminton kita. Sama ada ketika zaman hebatnya bersama Ricky Subagja mengecewakan gandingan Soon Kit-Kim Hock atau menjadi hero apabila mencipta gandingan emas Kien Keat-Boon Heong.

Falsafah permainan Rexy cukup mudah iaitu bermain pantas dan tidak menghantar bola tinggi. Namun, masalah timbul apabila MSN campur tangan dalam urusan kecergasan pemain di mana Rexy hanya ditugaskan untuk melatih manakala aspek kecergasan diletakkan di bawah MSN. Hasilnya, Koo Kien Keat lebih ‘sihat’ daripada biasa dan pergerakannya menjadi perlahan untuk mengambil bola dihantar menyebabkan kebanyakannya bola dihantar terpaksa dikembalikan tinggi dan ini membuatkan pemain lawan segera melakukan smash bertubi-tubi. Kien Keat juga dilihat cepat kehabisan tenaga terutama di set penentuan. Inilah yang diungkapkan Rexy secara jujur kepada media. Aku rasa kemungkinan Rexy masih belum bersedia kembali kerana ikatan kontrak dengan Filipina. Tambahan baru sahaja memulakan tugas di sana. Mungkin dalam tempoh 2 tahun beliau akan memikirkannya.

PILIHAN LAIN (SEKIRANYA TAWARAN DITOLAK)
Jurulatih – Razif Sidek
Razif (kanan) ketika bersama Jalani.

Komen : Gandingannya bersama adiknya Jalani telah menghadiahkan pingat gangsa kepada Malaysia di temasya Olimpik 92. Razif-Jalani nama tidak asing di dalam acara bergu lelaki. Sering menjadi sandaran di kejohanan-kejohanan besar termasuk Piala Thomas. Baru-baru ini beliau dilihat sering mengeluarkan kenyataan pedas terhadap Pengurusan BAM ekoran ketiadaan skuad yang mantap untuk menghadapi Piala Thomas.

Razif juga mengambil inisiatif sendiri dengan menawarkan ilmu kejurulatihan kepada gandingan bergu yang bernaung di bawah KLRC iaitu Fairuzizuan Tazari-Zakry Latif dan Gan Teik Chai-Tan Bin Shen. Walaubagaimanapun, setakat ini masih belum Nampak adanya peningkatan ditunjukkan oleh bergu ini. Kemungkinan juga berpunca masalah BAM yang tidak mahu nampak beregu naungan mereka lebih lemah berbanding gandingan ini.

Jurulatih – Cheah Soon Kit
Soon Kit (kiri) ketika memenangi Pingat Perak di Olimpik 96 bersama Kim Hock.

Komen : Salah seorang pemain bergu terbaik pernah dilahirkan negara, beliau pernah digelar ‘Pembunuh Bersiri’ ekoran smash kencangnya yang sukar ditangani bergu lawan. Seorang yang sangat serius ketika bermain, Soon Kit pernah berganding dengan Soo Beng Kiang yang memastikan mata kemenangan kepada Malaysia di Piala Thomas 1992 selepas menewaskan beregu muda Indonesia Ricky-Rexy di perlawanan akhir. Selepas berselisih faham, Soon Kit bergandingan dengan Kim Hock dan pencapaian terbaik yang kekal sehingga hari ini ialah Pingat Perak Acara Beregu di Olimpik Atlanta 1996.
Pernah juga membimbing skuad wanita Malaysia.

Jurulatih – Tan Kim Her dan Pang Cheh Chang.
Kim Her ketika membimbing beregu Korea.

Komen : Aku berpendapat kelibat Tan Kim Her masih boleh digunakan. Beliau pernah berkelana menjadi jurulatih Korea. Boleh diberikan peluang.

 Pang masih belum membuktikan kemampuannya sebagai coach yang berkaliber.

Mengenai Pang Cheh Chang, sama ada beliau digugurkan, atau diletakkan membimbing skuad wanita. Aku tidak nampak ada peningkatan langsung daripada bimbingannya. Malahan, bagaimana beliau mampu membentuk pemain berkelas dunia sedangkan karier beliau juga tidak begitu baik. Berkemungkinan boleh understudy coach lain dahulu mendalami ilmu kejurulatihan sebelum boleh melatih. Membimbing skuad wanita mungkin boleh mengurangkan tekanan kepada beliau yang dikritik hebat menggantikan Rexy.

Aku harap barisan kepimpinan baru (sekiranya terjadi) yang menerajui BAM dapat segera mengangkat potensi pemain-pemain muda remaja dalam acara Single seperti Zulfadli Zulkifli, Misbun Ramadan, Iskandar Zulkarnain dan beberapa kelompok pemain lain dengan segera. Kuncinya ialah beri mereka latihan keras secukupnya, kerana terbukti latihan keras Chong Wei menjadikan beliau sebegini hebat. Dan pada masa yang sama dedahkan ke kejohanan besar.
Misbun Ramdan dan Zulfadli perlu segera tingkatkan kemampuan.

Begitu juga dengan pemain double, pemain-pemain seperti V Shem-Kim Wah perlu segera diangkat untuk sehebat Koo-Tan. Dalam masa 2 tahun ini, mereka perlu menjadi top 10. Ini adalah stretch target. Selain itu, aku nampak hanya seorang pemain muda yang amat berpotensi iaitu Ow Yao Han. Jurulatih perlu segera mencari gandingan terbaik untuknya.

Ow Yao Han - Ada potensi

Kita lihat Li Yongbo ketua jurulatih China. Kita sering mengatakan beliau sombong & bongkak apabila mengeluarkan kenyataan. Hakikatnya, itulah realiti. Mengapa kita harus menidakkan beliau untuk berkata begitu? Seharusnya, kita melihat kepada persiapan pasukan mereka. Mereka berusaha gigih untuk sampai ke tahap sekarang.

Anda lihat, perkembangan badminton China sangat tersusun. Daripada skuad pelapis, suatu hari nanti mereka akan menjadi World Champion. Dan ianya berterusan untuk setiap era. Sekadar menyebut (setakat yang aku tahu) Yang Yang, Zhao Jianhua, Dong Jiong, Sun Jun, Chen Hong, Xia Xuanze, Ji Xinpeng, Lin Dan dan selepas dijangkakan Chen Long pula. Betul, kemungkinan pada masa itu Lin Dan bersara, Chong Wei seperti Taufik Hidayat atau Peter Gade pada hari ini, tapi Chen Long juga pasti bertambah kuat serta berpengalaman akan mendominasi arena perseorangan.

Selepas Chong Wei, siapakah yang mampu menggugat Chen Long dalam masa 4 tahun akan datang?

Saturday, 2 June 2012

Bolasepak Persahabatan : Malaysia Diikat Filiphina

PERSEDIAAN dan momentum kem Harimau Malaya untuk menghadapi Kejohanan AFF Suzuki 2012 bermula dengan rentak perlahan apabila diikat seri tanpa jaringan (0-0) dengan pasukan Filipina di Stadium Shah Alam semalam.

Dato' K.Rajagobal membariskan barisan yang dianggap kemungkinan sebagai eksperimen seperti Farizal Marlias, Bunyamin Omar, Azmi Muslim, Shahurain ditugaskan memulakan permainan disusuli oleh Amiridzwan Taj dan Shakir Ali di separuh masa kedua. Rajagobal juga cuba untuk mengembalikan semula 'sentuhan' pemain-pemain kepercayaannya semasa di AFF Suzuki 2010 seperti Safiq Rahim, Norshahrul Idlan dan Safee Sali sungguhpun ketiga-tiga kini di ambang penurunan prestasi dan masih bergelut untuk cergas sepenuhnya.

Berdasarkan kepada prestasi semalam, pada pendapat saya pemain negara masih gagal untuk mengawal bola dengan baik (ball possession). Pemain yang diberi kepercayaan seperti K.Gurusamy kelihatan tidak dapat untuk membawa bola ke dalam permainan dan seringkali jika pass yang ada dilaksanakan hanyalah kepada barisan pertahanan dan jika hantaran ke depan sekalipun akan gagal disambut Shahurain. Saya tidak nampak Amir Taj sebagai Defensive Midfielder yang boleh membuka permainan. Beliau sesuai di posisi CB. Saya percaya pemain terbaik di posisi ini boleh diisi oleh Shakir Shaari ataupun Nazmi Faiz. (Nota : Shakir tidak diturunkan kerana cedera semasa latihan beberapa hari lalu).

 
Amir Taj - Bukan pilihan terbaik posisi DM

Posisi penjaga gol rasanya kita tiada masalah besar kerana selain Khairul Fahmi, Farizal membuktikan beliau boleh membalas kepercayaan yang diberikan. Farizal nampak tenang dan berjaya mengekang hantaran tinggi lawan serta tidak takut untuk membuat terpaan bagi menghalang kemaraan pemain lawan.

Safiq Rahim boleh dipuji selaku playmaker yang kerapkali cuba untuk membuka ruang dan menghantar kepada rakan menghasilkan build up attack namun kecewa dengan finishing beliau yang agak tersasar walaupun berpeluang cerah. Pada masa yang sama, saya tertanya-tanya mengapa Raja masih mengekalkan Safiq sepanjang permainan. Kita harus ingat jika Safiq cedera atau digantung, kita perlu pemain yang boleh menggalas tugas beliau. Masih kita ingat semasa game di Singapura (kelayakan World Cup 2014) di SNBJ? Raja memanggil Ismail Faruqi tetapi mengapa beliau tidak ada dalam skuad percubaan ini. Sepatutnya peluang ini digunakan di mana Ismail akan dapat keserasian dengan lebih baik. 

Ismail Faruqi semasa aksi menentang Singapura dahulu.

Mengenai posisi back four, saya menganggap di sebelah Left Back, Mat Sabre Abu adalah backup yang kita ada. Prestasi Azmi Muslim tidak sama semasa beliau berada di Skuad Sukan SEA dahulu. Di samping hampir diaibkan ketika cuba membuat back pass kepada Farizal Marlias (PG), Azmi gagal untuk membuat larian dan cross serta menghantar bola dengan baik. Skil marking Azmi juga masih lemah dibandingkan dengan Asrarudin Putra. 

Begitu juga di Right Back, Bunyamin Omar seorang pemain serba boleh. Namun beliau bukanlah seorang typical full back yang boleh membuat larian pantas dan cuba untuk cross. Tetapi saya yakin dalam perlawanan yang memerlukan kita menentang pasukan yang mempunyai winger yang lincah, Bunyamin boleh ditugaskan. Selain itu, Mahali masih yang terbaik.

 Bunyamin - Pernah berlatih di Chelsea.

Dua posisi pertahanan tengah pada saya Aidil, Fadhli boleh diharapkan. Tetapi Aidil harus kita ingat injury-prone. Berdasarkan prestasi semasa, Subramaniam harus dipertimbangkan oleh Rajagobal. Beliau adalah committed defender yang terkenal dengan tackle dan anticipation yang baik.

Gandingan winger kiri dan kanan, saya rasa di kiri tetap menjadi milik S.Kunalan. Beliau sentiasa menjadi nadi ketika membuat serangan menerusi larian pantas dan amat rajin untuk turun ketika bertahan.  Amat malang kerana di posisi kiri juga kita ada Ashaari Samsudin seorang goalscorer yang prolifik. Tetapi, Raja memilih Kunalan kerana faktor balance di dalam formasinya. Disebabkan itu, Ashaari sering diketepikan. Sama ada Raja akan mempertimbangkan Kuna di kanan untuk accommodate Ashaari di kiri, bergantung pada latihan.

 Mungkinkah Ashaari akan hanya bertindak sebagai bit part player dalam Harimau Malaya?

Di sebelah kanan, Shahurain perlu membuktikan lebih baik jika tidak pemain seperti Wan Zack pasti menjadi pilihan. Wan Zack juga sedikit injury prone bagi saya dan disebabkan itu mungkin Raja cuba sekurang-kurangnya mencari backup lain seperti Chanturu, Amirulhadi atau Josep Kalang Tie.

 
 Shahurain Abu Samah - Perlu tingkatkan prestasi

Posisi yang menjadi kegusaran kita pada malam semalam tentunya serangan. Gandingan Shahrul Idlan-Safee Sali pernah menjadi gerunan lawan ketika AFF 2010 hingga membawa perhatian kelab luar untuk merekrut mereka, namun semalam kedua-dua masih gagal. Tatkala Shahrul bergelut untuk kembali cergas sepenuhnya untuk kembali merobek benteng lawan, selepas cedera, sentuhan pemusnah Safee yang tumpul dan longgar juga perlu segera diasah dan diperkemaskan. Backup yang ada tentunya Hazwan Bakri dan Shakir Ali.
Saya juga jika boleh ingin mencadangkan Raja untuk mempertimbangkan Norfarhan yang dalam kemuncak prestasi pada masa ini.

Norfarhan - Di kemuncak prestasi

Diharapkan perlawanan menentang Singapura 8 Jun ini kita akan tampil dengan aksi lebih kemas dan mengawal permainan dengan lebih baik.